Tak wajar Sulaiman ketuai kerajaan ‘caretaker’, PH Melaka akan rujuk mahkamah

Tak wajar Sulaiman ketuai kerajaan ‘caretaker’, PH Melaka akan rujuk mahkamah

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tugas pentadbiran kerajaan negeri sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tidak wajar Sulaiman Md Ali dibenarkan menerajui kerajaan negeri ‘caretaker’ selepas kerajaan pimpinannya hilang sokongan majoriti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Melaka akan merujuk mahkamah bagi memastikan keabsahan kerajaan negeri “caretaker” seperti yang diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, tidak wajar Sulaiman Md Ali dibenarkan menerajui kerajaan negeri “caretaker”, selepas kerajaan pimpinannya hilang sokongan majoriti.

Beliau merujuk kes duluan pada 2 Mac 2020, di mana tugas pentadbiran kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baharu dilantik.

“Merujuk sidang media Speaker DUN Melaka mengenai pembubaran DUN Melaka ke-14, jelas menunjukkan Sulaiman hilang kepercayaan sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membolehkan beliau terus memegang jawatan Ketua Menteri Melaka.

“PH juga berpandangan permohonan Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri Melaka untuk membubarkan DUN Melaka mempamerkan sikap beliau yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Ali Rustam membubarkan DUN Melaka selepas empat ADUN, iaitu Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman semalam.

Yang Dipertua DUN Melaka, Ab Rauf Yusoh ketika mengumumkan pembubaran itu berkata, kerajaan negeri sedia ada akan mejadi ‘caretaker’ sehingga pilihan raya negeri diadakan.

Sementara itu, Adly membidas Sulaiman tidak bertanggungjawab kerana membuat permohonan untuk membubarkan DUN Melaka.

“Rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19, malahan PRN Sarawak telah ditangguhkan atas alasan sama.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.