
Wee berkata, beliau perlu menunggu kerajaan terlebih dulu dalam mencapai keputusan secara kolektif, dan perdebatan boleh dilakukan mengikut kesesuaian tarikh.
Beliau turut menafikan enggan mengulas berkenaan hal dasar kabotaj dalam sesi soal jawab di Parlimen, hari ini.
“Pada jam 12.02 tengahari, Speaker Dewan Rakyak Azhar Azizan Harun mengumumkan waktu pertanyaan lisan sudah tamat. Sesi pertanyaan lisan hari ini hanya setakat soalan ke-9.
“Kebetulan, soalan 10 adalah mengenai dasar kabotaj yang ditanya oleh YB Ahli Parlimen Muar dan saya juga telah pun bersedia untuk menjawabnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Katanya, sebelum itu, pada 11.55 pagi, Ahli Parlimen Jelutong tiba-tiba membangkitkan Peraturan Mesyuarat Dewan ketika Ahli Parlimen Bintulu baru selesai menanyakan soalan tambahan bagi soalan 9.
“Ini yang menyebabkan kelewatan sehingga menjangkau ke jam 12 tengahari,” katanya.
Wee berkata, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, secara tiba-tiba bangun dan bertanya hal perdebatan berkenaan dasar kabotaj.
“Jawapan saya mudah, saya bersedia menanti Guan Eng dan tidak akan lari atau menyorok di dalam terowong dasar laut,” sindirnya.
Hari ini, Guan Eng berkata beliau sedang menunggu perkembangan daripada Wee selepas menerima cabaran Presiden MCA itu mengadakan debat terbuka membabitkan dasar kabotaj.
Khamis lalu, timbul perdebatan hangat antara dua pemimpin parti politik berkenaan, mengenai dasar kabotaj dilaksanakan kerajaan, yang didakwa menyebabkan kerugian pelaburan asing ke negara ini berjumlah RM12 bilion hingga RM15 bilion.
Pengecualian kabotaj sebelum ini meliputi kapal asing bagi membenarkan kerja pembaikan dasar laut di perairan Malaysia.
Bagaimanapun, pada November lalu, Wee membatalkan pengecualian itu untuk kerja pembaikan kabel dasar laut, selain menafikan dakwaan ia akan menjejaskan pelaburan ke negara ini.