MRT laluan Putrajaya Fasa 2 siap 93%, dijangka operasi Jan 2023, kata menteri

MRT laluan Putrajaya Fasa 2 siap 93%, dijangka operasi Jan 2023, kata menteri

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, prasarana utama seperti terowong, stesen dan struktur lain telah siap dibina.

Wee Ka Siong berkata, pembinaan MRT laluan Putrajaya Fasa 1 pula, 99.9% telah siap dan dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan.
KUALA LUMPUR:
Pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya Fasa 2 kini siap 93.52% dan dijangka beroperasi pada Januari 2023 seperti dijadualkan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, prasarana utama seperti terowong, stesen dan struktur lain telah siap dibina dan baki kerja yang perlu disiapkan antaranya merangkumi perkhidmatan bangunan, kemasan seni bina dan landskap.

“Saya amat berbesar hati melihat tahap kemajuan ini dan saya yakin Fasa 2 laluan Putrajaya ini dapat mula beroperasi seperti yang disasarkan pada Januari 2023.

Pembinaan Laluan MRT Putrajaya tepat pada masanya kerana ia menjadi pemangkin penting dalam pemulihan ekonomi negara dengan membolehkan ramai pekerja kembali bekerja dan menjalani kehidupan normal,” katanya dalam sidang media selepas melawat tapak persilangan MRT Hospital Kuala Lumpur semalam yang turut disertai Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.

Sementara itu, Wee berkata, bagi pembinaan MRT laluan Putrajaya Fasa 1 pula 99.9% telah siap dan dijangka dilancarkan pada hujung bulan depan.

MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) meliputi jajaran sepanjang 56.2 kilometer dan mempunyai 36 stesen untuk kedua-dua fasa, bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Putrajaya.

Terdahulu Wee dalam ucapannya berkata, kementeriannya bekerja keras untuk membuka kembali sektor industri pengangkutan lain antaranya pelabuhan, logistik dan pengangkutan udara bagi mendukung usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

“Namun ia harus dilaksanakan dengan sangat berhati-hati untuk memastikan keselamatan orang ramai. Sehubungan itu kementerian saya akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah berjaga-jaga dilaksanakan dengan tegas oleh semua pihak dalam industri pengangkutan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.