Fahmi dibebas dengan jaminan polis

Fahmi dibebas dengan jaminan polis

Pereka grafik itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Fahmi Reza ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama, iaitu semalam.
PETALING JAYA:
Pereka grafik dan aktivis Fahmi Reza dibebaskan dengan jaminan polis semalam berhubung karikaturnya mengenai “Keluarga Malaysia” Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, Fahmi dibebaskan selepas keterangannya dirakam bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Aktivis itu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

“Keterangannya juga sudah diambil bagi membantu siasatan lukisan karikatur itu,” katanya dipetik Harian Metro.

Semalam, Fahmi melalui Twitternya memaklumkan beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, selepas disoal siasat berhubung karikaturnya mengenai “Keluarga Malaysia”.

Ini bukan kali pertama Fahmi berdepan kontroversi. Pada 2016, dia didakwa mengikut undang-undang multimedia kerana karikatur badut menyerupai Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.