Dulu ‘barua’, sekarang bermaruah, ‘bakar diri’ berjuang untuk rakyat, kata Norhizam

Dulu ‘barua’, sekarang bermaruah, ‘bakar diri’ berjuang untuk rakyat, kata Norhizam

ADUN Pengkalan Batu berkata sepanjang tempoh 19 bulan bergelar Exco beliau bergelut untuk mempergiat sektor pertanian termasuk usaha menangani isu permohonan tanah.

Norhizam Hassan Baktee berkata permohonan tanah yang dibuatnya telah ‘disunyikan’ oleh Sulaiman Md Ali dan mendakwa, soal pembangunan negeri dipengaruhi pihak ketiga iaitu Yang Dipertua DUN, Ab Rauf Yusoh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang daripada bekas Exco Melaka yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali sehingga mengakibatkan kerajaan negeri pimpinan Umno tumbang, Norhizam Hassan Baktee menjelaskan, tindakan itu dilakukan demi memperjuangkan nasib rakyat.

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, sepanjang tempoh 19 bulan bergelar Exco, beliau bergelut untuk mempergiat sektor pertanian termasuk usaha menangani isu permohonan tanah.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu berkata, permohonan dibuatnya telah “disunyikan” oleh Sulaiman dan mendakwa, soal pembangunan negeri dipengaruhi pihak ketiga iaitu Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Ab Rauf Yusoh.

“Kita memang tidak setuju dengan apa yang berlaku sekarang, bila tengok Exco tidak boleh buat keputusan, jadi siapa lagi? Kita tidak mahu ada orang luar (Ab Rauf) campur, buat keputusan yang tidak sepatutnya, banyak masalah lain tidak boleh selesai.

“Sebagai contoh, kita tahu tanah pertanian sudah tidak ada lagi, yang ada pun 70% komoditi untuk getah dan sawit. Jadi macam mana saya nak buat aktiviti kalau tanah tidak ada?,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sebuah hotel di Taman Kota Laksamana, hari ini.

Dedah Norhizam lagi, beliau juga membantah pelaksanaan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion kerana bimbang dengan nasib nelayan di Melaka.

“Saya Exco pertama membantah kerana Jabatan Perikanan bawah portfolio saya. Saya bukan anti pembangunan tetapi saya nak bela nasib nelayan, namun suara saya tidak ada (dinafikan).

“Saya kecewa kerana dasar tidak dapat dilaksanakan. Dulu barua, sekarang bermaruah. Kita membakar diri untuk rakyat, berjuang untuk rakyat.

“Tengok apa komen rakyat. Ini suara rakyat, tengok satu persatu. Saya menjadi wakil rakyat, mendengar keluhan hati dan bukan perjuangkan diri saya sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.