
Azhar berkata, pelantikan Azalina sebagai penasihat kepada Ismail Sabri Yaakob bukannya bertaraf menteri atau sebahagian daripada kerajaan jadi tidak timbul sebarang masalah jika beliau dijemput mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.
“Saya telah dimaklumkan oleh YB Pengerang bahawa pelantikan beliau bukan berstatus menteri. Beliau bukanlah menjadi sebahagian pihak pentadbiran atau kerajaan, beliau hanya menjadi penasihat yang akan menasihat Perdana Menteri bukan menasihati kerajaan, berdasar pendekatan dan kebijaksanaannya.
“Oleh kerana beliau bukan anggota kerajaan, maka saya tak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk beliau pengerusikan apa-apa sidang dewan,” katanya.
Katanya, Azalina juga akan bersikap berkecuali dan tidak akan membuat sebarang keputusan semasa mempengerusikan sidang Dewan Rakyat jika isu dibangkitkan membabitkan konflik kepentingan.
“Jadi sepanjang mempengerusikan apa-apa sidang, beliau tidak perlu buat apa-apa ‘ruling’ mengenai perkara yang berkaitan dengan beliau bagi mengelak ‘conflict of interest’.
“Sama dengan saya, ramai orang kata saya ada masalah ‘conflict of interest’ dengan Peguam Negara sebab beliau abang saya, tapi bila saya nak buat ‘ruling’ melibatkan ‘conflict of interest’, saya akan berkecuali, sama juga YB Pengerang, sekiranya ada apa ‘ruling’ perlu dibuat beliau sudah tentu beliau kecualikan diri jika melibatkan ‘conflict of interest’, malah saya sendiri akan minta dia (Azalina) kecualikan diri,” katanya.
Beliau menjawab isu dibangkitkan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang mempersoalkan langkah meminta Azalina menjadi Timbalan Speaker di Dewan Rakyat selepas beliau dilantik menjadi penasihat kepada Perdana Menteri.
Katanya, ramai lagi Ahli Parlimen boleh dijemput menjadi Timbalan Speaker yang tidak memegang sebarang jawatan membabitkan pihak kerajaan.