Bahasa ketiga Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban akan diajar di Tabika Perpaduan, kata menteri

Bahasa ketiga Mandarin, Tamil, Kadazan, Iban akan diajar di Tabika Perpaduan, kata menteri

Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique berkata langkah itu bagi memupuk semangat perpaduan di peringkat awal persekolahan.

Bahasa komunikasi sebagai bahasa ketiga iaitu Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban akan diajar di Tabika Perpaduan, kata Menteri Perpaduan Negara, Halimah Mohamed Sadique.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perpaduan Negara memperkenalkan empat program baharu bawah Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030 di Tabika Perpaduan termasuk pengajaran bahasa komunikasi sebagai bahasa ketiga, iaitu bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban.

Menterinya Halimah Mohamed Sadique berkata, langkah itu bagi memupuk semangat perpaduan di peringkat awal persekolahan.

“Empat program baharu menerusi (Pelan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Perpaduan 2021- 2030) pertama, pengajaran modul pendidikan rukun negara; kedua, pengajaran elemen perpaduan dan nilai murni; ketiga, pengajaran bahasa komunikasi bahasa ketiga, iaitu pengajaran bahasa Mandarin, Tamil, Kadazan dan Iban dan keempat satu mata pelajaran baharu, iaitu Jom Urus Diri bagi anak-anak,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kementeriannya menyatakan sejauh manakah Tabika Perpaduan dapat memainkan peranan dalam memupuk nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk, khasnya selepas konsep Keluarga Malaysia diketengahkan oleh Perdana Menteri dan peranan kementerian itu.

Selain itu, Halimah memaklumkan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan dalam pelan berkenaan, kementeriannya turut menggariskan enam teras bagi memastikan perpaduan bermula di peringkat kanak-kanak.

Beliau berkata, ia termasuk memantapkan elemen kenegaraan, perpaduan dan nilai murni dalam kurikulum pengajaran dan pembelajaran perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.