Varian Delta dikesan dalam 95% sampel jujukan genom

Varian Delta dikesan dalam 95% sampel jujukan genom

Menteri Kesihatan berkata, kerajaan membenarkan penggunaan kaedah heterologi atau campuran vaksin bagi pemberian suntikan penggalak Covid-19 yang dijadualkan bermula bulan ini.

Tiada varian Mu dan Lambda dikesan di Malaysia setakat ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, analisis jujukan genom ke atas 95% atau 1,246 daripada 1,312 sampel positif Covid-19 di negara ini mendapati ia adalah varian Delta.

Daripada jumlah itu katanya, 11 sampel dikategorikan sebagai varian Beta, manakala 55 lagi bukan varian membimbangkan (VOC).

Beliau berkata, analisis jujukan jenom itu dijalankan secara konsortium dengan kerjasama tujuh makmal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi.

“Sampel yang diperolehi adalah daripada semua Jabatan Kesihatan negeri. Sehingga kini, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel-sampel di Malaysia. Konsortium akan terus memantau varian SARS-CoV-2 di Malaysia.

“Bagi membolehkan konsortium menjalankan analisis jujukan genom, MOSTI turut mengumumkan tambahan dana RM13.9 juta.

“Dana ini membolehkan kesinambungan dalam menjalankan penjujukan genom memandangkan ia sangat penting untuk memantau varian baharu di Malaysia,” katanya di Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) berhubung perancangan kesiapsiagaan KKM menangani kemunculan varian baharu Covid-19 membimbangkan.

Suntikan penggalak

Khairy berkata, kerajaan membenarkan penggunaan kaedah heterologi atau campuran vaksin bagi pemberian suntikan penggalak Covid-19 yang dijadualkan bermula bulan ini.

Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam perbincangan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.