Saya tiada ‘kawalan’ atas syarikat, pemegang amanah dikait dengan keluarga, kata Daim

Saya tiada ‘kawalan’ atas syarikat, pemegang amanah dikait dengan keluarga, kata Daim

Bekas Menteri Kewangan itu berkata beliau membayar cukai pelaburan dan hartanah atas usaha perniagaannya sendiri.

Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin mengakui sebahagian pemegang amanah yang disebut adalah milik anak-anaknya dan ia adalah sebahagian daripada ‘perancangan harta pusaka’.
PETALING JAYA:
Daim Zainuddin mengkritik satu laporan yang mengaitkan keluarga dan rakan perniagaannya dengan syarikat dan pemegang amanah bernilai RM141 juta.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, beliau “tidak tahu atau tiada kawalan” atas perniagaan tersebut, walaupun mengakui ada yang merupakan milik anaknya.

“Saya sudah lama bersara daripada perniagaan, dan pemegang amanah adalah sebahagian daripada perancangan harta pusaka,” katanya dipetik oleh Malaysiakini.

Daim juga berkata, semua cukai telah dibayar sepenuhnya di “setiap tempat saya menjalankan perniagaan dan raih pendapatan”.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan anak Daim, Muhammed Amir dan Muhammed Amin, menjadi pemegang saham Newton Invest & Finance Limited (BVI) pada 2007 ketika masih remaja.

BVI memiliki hartanah di London bernilai £10 juta ketika itu.

Adik beradik itu bersama ibu mereka juga adalah pemegang saham di beberapa syarikat luar pesisir yang memiliki hartanah di London.

Laporan portal itu berdasarkan “Pandora Papers”, yang diterbitkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) semalam.

Malaysiakini melaporkan, anak perempuan Daim, Aslinda Daim-Pan, adalah pengarah syarikat Britain, 8 Bryanston Square Freehold Ltd.

“Syarikat pengurusan hartanah itu bagaimanapun hanya memiliki aset £5, menurut pemfailan terakhirnya,” menurut laporan itu.

Dokumen itu, menurut Malaysiakini, juga menamakan bekas peguam, Josephine Premla Sevaretnam, memegang jawatan penting dalam pelbagai perniagaan Daim.

Ini termasuk bank Switzerland, ICB Banking Group, dengan Daim memiliki 74.4% saham ketika disenaraikan di Pasaran Pelaburan Alternatif London pada 2007.

Josephine turut disenaraikan sebagai pengurus perniagaan bagi Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International Ltd (BVI) yang berpangkalan di London.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.