Pukul, tak bayar gaji amah, 2 beranak ditahan

Pukul, tak bayar gaji amah, 2 beranak ditahan

Polis tahan wanita dan anak perempuannya susulan aduan mangsa warga India yang ditemui orang awam di kaki lima Pejabat Pos Klang.

Mangsa ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Damansara selama 21 hari untuk melengkapkan siasatan manakala dua beranak itu direman empat hari, kata Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao.
SHAH ALAM:
Polis menahan seorang wanita dan anak perempuannya di sekitar Klang selepas menerima laporan pembantu rumah warga India yang mengadu tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sejak bekerja di rumah mereka, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao berkata, wanita warga India yang melarikan diri dari dari rumah berkenaan ditemui orang awam di kaki lima Pejabat Pos Klang pada 19 September dan hanya membuat laporan polis mengenai masalahnya semalam.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati wanita berumur 26 tahun itu masuk ke Malaysia dan bekerja di rumah berkenaan selama 19 bulan.

“Wanita itu kemudian melarikan diri kerana tidak tahan bekerja dan tidak dibayar gaji, malah turut dipukul dengan wayar seterika di bahagian paha hadapan oleh anak majikannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, wanita itu ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Damansara selama 21 hari untuk melengkapkan siasatan.

Vijaya Rao berkata, suspek berumur 49 tahun dan 28 tahun itu ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.