

Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata, parti baharu itu “dilihat sebagai proksi kepada tokoh tertentu yang berkuasa untuk memecah undi calon bebas atau propembangkang”.
Katanya, beliau mengetahui individu di belakang parti baharu itu tetapi enggan mendedahkan dengan lebih lanjut dan tambahnya parti itu akan menghadapi cabaran untuk bersaing bersama Muda dan Pejuang, apatah lagi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).
Berita mengenai parti baharu itu dilaporkan baru-baru ini oleh The Malaysian Insight yang berkata, parti itu akan diketuai saudara terdekat seorang pemimpin tertinggi, yang dahulunya merupakan aktivis pelajar. Beberapa Ahli Parlimen bebas dijangka menyertai parti itu yang tidak akan berpihak kepada PH.

“Saya percaya parti ini akan lebih mesra BN dan PN walaupun tidak semestinya menyokong Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan mereka yang berpihak kepadanya.”
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, parti baharu itu, seperti parti bebas atau parti kecil yang lain, adalah tipu helah mereka yang berkuasa untuk memecah undi pembangkang.
“Parti-parti kecil seperti ini memiliki tujuan yang sangat khusus, iaitu bagi mengelirukan dan membingungkan pengundi progresif yang tidak berpuas hati dengan mereka yang berkuasa untuk memilih mereka, bukannya pembangkang. Apabila saya mengatakan parti kecil, saya tidak merujuk kepada Pejuang, Muda atau Warisan yang nampaknya lebih ikhlas dalam perjuangan politik mereka,” kata Oh.