
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, daripada jumlah serbuan itu seramai 7,795 individu telah ditahan.
“Dari Jan 2021 hingga 31 Ogos serbuan yang dibuat polis ialah 7,374 serbuan (aktiviti judi tanpa lesen) dan mereka yang ditangkap seramai 7,795 orang,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan jumlah serbuan dibuat ke atas aktiviti judi tanpa lesen sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) mulai Mac tahun lalu.
Jonathan turut memaklumkan kementeriannya mengambil langkah serius bagi membendung peningkatan aktiviti judi tanpa lesen.
Katanya, kebanyakan aktiviti yang berlaku sepanjang PKP itu beroperasi di negara luar seperti Singapura, Kemboja dan China memandangkan aktiviti judi termasuk berlesen tidak dibenarkan sepanjang PKP.
Sehubungan itu kata Jonathan, kementeriannya juga akan membuat semua pertimbangan termasuk meminda undang-undang sedia ada bagi membendung aktiviti terbabit.