
Jumlah kes yang direkodkan setakat ini adalah 2,277,565, dengan 26,683 kematian.
Kata Lim, mungkin ada harapan bagi Malaysia dalam memerangi wabak Covid-19.
“Rekod 9,066 kes harian baharu yang dicatatkan semalam adalah yang terbaik dalam tempoh hampir tiga bulan sejak 8 Julai ketika Malaysia mencatatkan 8,868 kes harian baharu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam kenyataan.
“Kita catatkan kes harian baharu lima angka selama hampir tiga bulan sejak 13 Julai dan semalam buat kali pertama, ia turun kepada empat angka.
“Kita ambil masa lebih sebulan untuk turun dari kemuncak 24,599 kes harian baharu pada 25 Ogos kepada empat angka.
“Adakah kita perlu sebulan lagi untuk turun kepada tiga angka dan adakah kes harian baharu akan mencatatkan dua angka setelah genap 100 hari Khairy menjadi menteri kesihatan? Ini adalah cabaran 100 harinya,” kata Kit Siang.
Semua rakyat Malaysia katanya, berharap dan mendoakan kejayaan menteri itu dalam perang melawan wabak.
“Kita hadapi gelombang Covid-19 terpanjang di dunia sejak pilihan raya negeri Sabah September lalu,” katanya.
“Apabila (bekas) perdana menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan keadaan darurat untuk memerangi wabak pada 11 Jan 2021, jumlah kumulatif kes Covid-19 adalah 138,224 dengan 555 kematian.
“Apabila beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri tujuh bulan kemudian, pada 16 Ogos, jumlah kumulatif kes dan kematian Covid-19 masing-masing meningkat menjadi 1,424,639 dan 12,784,” katanya.
Malaysia kini berada di tempat ke-20 antara negara-negara dengan jumlah kes kumulatif tertinggi berbanding tempat ke-89 pada 31 Ogos.