
Hakim Mahyon Talib menjatuhi hukuman itu selepas Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah semasa sebutan kes hari ini, menurut laporan Bernama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai hari ini selain mengarahkannya dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Dia juga dikenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu bon berkelakuan baik tiga tahun dengan cagaran RM5,000 dan khidmat masyarakat selama 180 jam.
Azlina didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek, Wangsa Maju di sini antara 7 dan 10 pagi 23 Julai 2020.
Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shahieza Md Hazaid memohon hukuman berat dan meminta mahkamah mengambil kira kecederaan serius yang dialami sehingga menyebabkan mangsa cacat seumur hidup.
“Tertuduh juga tidak amanah dan tidak bertanggungjawab selain merupakan pengasuh di rumah yang tidak berdaftar dengan JKM. Dia juga tidak mempunyai sebarang sijil atau kelayakan bagi pendidikan awal kanak-kanak.
“Peningkatan kes-kes penderaan, pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak oleh pengasuh di Malaysia jelas menunjukkan hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat,” katanya.
Peguam Raihanah Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili Azlina Lizawati, memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mengaku bersalah di peringkat awal kes, selain ini adalah kesalahan pertama tertuduh.
“Anak guam saya mempunyai tiga anak yang masih kecil dan paling bongsu berusia lima bulan. Dia juga telah insaf kerana sebelum ini direman selama 14 hari ketika siasatan,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dihantar ke rumah pengasuh pada 7 pagi dalam keadaan sihat namun pada 10 pagi, dia diambil oleh bapanya setelah tertuduh memaklumkan bahawa bayi itu tidak berhenti menangis.
Bapanya kemudian membawa bayi itu ke klinik kerana dia nampak kesakitan. Klinik tersebut mengarahkan mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan imbasan x-ray.
Siasatan pihak hospital mendapati mangsa patah tulang belakang serta urat saraf.
Laporan perubatan menunjukkan bayi itu mengalami kecederaan kekal dan tidak boleh menggerakkan badannya.
Mangsa kini pemegang kad Orang Kurang Upaya berikutan kecacatan kekal yang dialami.