Kerangka jaringan keselamatan ekuiti hanya libatkan jualan saham syarikat Bumiputera, kata Mustapa

Kerangka jaringan keselamatan ekuiti hanya libatkan jualan saham syarikat Bumiputera, kata Mustapa

Beliau menjelaskan, cadangan penjualan itu tidak melibatkan penjualan saham dan/atau syarikat yang oleh individu Bumiputera, bukan Bumiputera atau syarikat asing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata ia bagi memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan Bumiputera dan tidak terhakis, tanpa mengambil hak kepentingan kaum.
PETALING JAYA:
Cadangan untuk memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti hanya merujuk kepada penjualan saham dan/atau syarikat oleh agensi mandat Bumiputera sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed menjelaskan perkara itu berkata, cadangan penjualan itu tidak melibatkan saham dan/atau syarikat yang akan dijual oleh individu Bumiputera, bukan Bumiputera atau syarikat asing.

“Agensi mandat Bumiputera ini terdiri daripada institusi kepentingan Bumiputera (termasuk Permodalan Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Haji), dan agensi amanah Bumiputera (termasuk MARA, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan EKUINAS,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Sept lalu, kerajaan berkata akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat berkata langkah itu supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawar dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, di bawah kerangka jaringan keselamatan ekuiti, penjualan berkenaan akan ditawarkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang berkelayakan.

Katanya, pada tahun 2019, pemilikan Bumiputera dalam ekuiti korporat berasaskan nilai pasaran hanya 17.2%.

“Pengumuman ini dibuat untuk memastikan pemilikan yang ada akan kekal dalam pegangan Bumiputera dan tidak terhakis.

“Cadangan ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain,” katanya.

Mustapa berkata selain daripada kerangka jaringan keselamatan ekuiti itu, terdapat beberapa perundangan dan peraturan kawal selia pemilikan ekuiti Bumiputera yang sedang dan akan terus berkuat kuasa.

“Pelupusan saham dan/atau syarikat swasta adalah tertakluk kepada kelulusan pengawal selia sektor kementerian dan agensi berkaitan.

“Sebagai contoh, perolehan hartanah yang melibatkan pemilikan hartanah kepentingan Bumiputera dan/atau agensi kerajaan bernilai RM20 juta ke atas, perlu mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Ini adalah untuk memastikan kepentingan Bumiputera dalam syarikat yang sedia ada tidak terhakis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.