Pinda Perlembagaan untuk nampakkan kesaksamaan jantina, kerajaan digesa

Pinda Perlembagaan untuk nampakkan kesaksamaan jantina, kerajaan digesa

Segelintir undang-undang melibatkan isu jantina dalam Perlembagaan Persekutuan bercanggah, kata bekas hakim dan Ahli Parlimen.

Mah Weng Kai dan Kasthuri Patto berkata, undang-undang kerakyatan mesti dipinda untuk menunjukkan kesaksamaan jantina.
GEORGETOWN:
Seorang bekas hakim dan Ahli Parlimen DAP menggesa undang-undang kerakyatan dipinda untuk menampakkan kesaksamaan jantina seterusnya menangani isu berterusan berkaitan ibu warga Malaysia yang mahukan hak berkenaan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Mah Weng Kwai berkata, walaupun undang-undang persekutuan yang bercanggah melibatkan isu ini perlu dibacakan secara harmoni, kerajaan tetap perlu meminda perundangan berkaitan kerakyatan yang relevan untuk memastikan kesaksamaan jantina.

“Kerajaan mesti mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi KL baru-baru ini dalam kes melibatkan kerakyatan, seterusnya meminda undang-undang sedia ada,” katanya yang juga bekas hakim dalam webinar berkaitan isu itu oleh Penang Women’s Development Corporation.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mengkritik dwistandard dalam penggunaan undang-undang yang menyebabkan kesukaran terhadap wanita Malaysia yang mahu memohon kerakyatan untuk anak dilahirkan di luar negara, malah disifatkannya sebagai seksis.

Beliau merujuk Perkara 8 Perlembagaan yang menyatakan tiada diskriminasi terhadap rakyat berdasarkan jantina, serta Perkara 18(3) yang secara khusus menyatakan anak seorang bapa warga Malaysia boleh diberikan kerakyatan jika dilahirkan di luar negara, tetapi bukan bagi golongan ibu.

“Kenapa ada dwistandard apabila bapa kelahiran Malaysia boleh memberikan kerakyatan itu kepada anaknya, tetapi bukan seorang ibu?”

Beliau menggesa rakyat Malaysia menghubungi Ahli Parlimen masing-masing dan meminta mereka memberi komitmen untuk memastikan hak saksama bagi ibu bapa dalam isu itu.

“Saya berharap dua pertiga Ahli Parlimen akan mengundi untuk meminda undang-undang kerakyatan sekiranya kerajaan membawanya ke Parlimen.

“Tiada sebab untuk mana-mana Ahli Parlimen membantah pindaan ini,” katanya.

Bulan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Akhtar Tahir memutuskan golongan ibu juga boleh menurunkan kerakyatan kepada anak mereka seperti golongan bapa.

Akhtar dalam keputusannya berkata, perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan mesti turut bermaksud dan merangkumi golongan ibu.

Kerajaan merayu keputusan itu walaupun berkata ia mempertimbangkan meminda undang-undang berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.