Longgarkan segera sekatan industri cip elektronik, kerajaan diberitahu

Longgarkan segera sekatan industri cip elektronik, kerajaan diberitahu

Ahli ekonomi menggesa kerajaan memberikan kelonggaran segera terhadap sekatan yang masih dikenakan terhadap industri semikonduktor bagi menangani kekurangan cip untuk pembuatan kereta di peringkat global.

Media melaporkan, kekurangan bekalan cip daripada syarikat di Malaysia menyebabkan pemasangan kenderaan syarikat automotif di seluruh dunia, terhenti. (Gambar AP)
GEORGE TOWN:
Ahli ekonomi menggesa kerajaan memberikan kelonggaran segera sekatan yang masih dikenakan terhadap industri semikonduktor bagi menangani kekurangan cip untuk pembuatan kereta di peringkat global.

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) berkata Malaysia harus berhati-hati bagi membolehkannya mengekalkan kedudukan yang baik dalam industri berkenaan sekiranya tidak mahu tewas kepada negara-negara lain.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata sektor bekalan dan logistik perlu dibenarkan kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan ekosistem pembuatan cip dapat dipulihkan segera.

Media melaporkan, kekurangan bekalan cip daripada syarikat di Malaysia menyebabkan pemasangan kenderaan syarikat automotif di seluruh dunia, terhenti.

Geoffrey Williams.

Menurut Reuters, 13% daripada ujian dan pembungkusan cip global dilakukan di Malaysia, yang juga menguasai 7% dagangan keseluruhan semikonduktor dunia.

Williams berkata negara tidak mampu untuk mengorbankan kedudukannya dalam industri terbabit dan perlu memenuhi permintaan yang tertunggak dan bersedia memenuhi tempahan baharu.

“Keutamaan harus diberikan untuk membina kembali hubungan dan membenarkan dagangan berkembang dengan menjadi rakan rantaian bekalan yang baik,” katanya.

“Secara semula jadinya, harga akan meningkat disebabkan permintaan pasaran tetapi bekalan dan kualiti harus dikekalkan. Jika tidak, pelanggan mungkin beralih ke tempat lain.”

D Vidya, yang mengendalikan kilang pembuatan elektronik di Kulim, memberitahu FMT bahawa dia mengalami kesukaran untuk memenuhi permintaan apabila terdapat 60% sekatan dikuatkuasakan terhadap tenaga kerja.

Dia mendakwa pegawai penguatkuasa bersikap terlalu tegas hingga meneliti semua perkara yang dilakukan mereka.

Katanya, kadar vaksinasi yang perlahan di kalangan pekerja juga tidak membantunya berdepan masalah itu.

Vidya yang mengusahakan kilang pembuatan cip untuk kegunaan perubatan dan industri untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, berkata pengeluaran juga tidak dapat dilakukan secara efisyen memandangkan bahagian pembuatan sering dihentikan.

Katanya, pemberhentian operasi itu berlaku ketika pekerja dikesan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan disebabkan oleh larangan rentas negeri di Kedah yang akhirnya telah ditamatkan semalam.

Vidya berkata, syarikatnya yang mempunyai ramai pekerja tempatan itu tidak dapat mencari operator kilang yang baharu walaupun iklan jawatan kosong telah ditampal di kilang terbabit.

Industri elektronik di Malaysia dikatakan akan berkembang pesat berikutan terdapat peningkatan bilangan operator yang keluar dari China.

“Pemain industri kini berdepan dengan permintaan yang banyak,” kata Vidya.

Berjoyai Bardai.

Ahli ekonomi, Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak menggesa pihak terbabit memberi fokus untuk mencari satu penyelesaian jangka panjang.

Katanya, kerajaan perlu mewujudkan institut semikonduktor untuk memberi fokus terhadap penyelidikan dan rekaan cip.

“Dengan cara itu, semuanya boleh dilakukan di sini, bukan AS atau Bengaluru. Kita boleh membina kepakaran sendiri dan menjadi vendor besar dalam tempoh jangka panjang berbanding vendor kecil yang hanya menyokong industri.”

Barjoyai berkata ketika ini Malaysia terbabit dalam ujian dan pembungkusan cip buatan Taiwan.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi Taiwan Wang Mei-hua, berkata Asia Tenggara, khususnya Malaysia telah menyebabkan masalah pengeluaran cip disebabkan penutupan kilangnya.

Reuters dalam laporan sebelum ini berkata Taiwan akan berusaha untuk menangani perkara itu tetapi tidak boleh menyelesaikannya sendiri disebabkan rantaian bekalan yang rumit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.