Lebih 20 juta populasi dewasa sudah divaksin

Lebih 20 juta populasi dewasa sudah divaksin

Sebanyak 3.2% lagi diperlukan untuk mencecah angka 90% populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.

Sebanyak 94.2% atau 22,059,329 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, menurut Kementerian Kesihatan.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 20,317,843 individu atau 86.8% daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19, setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data yang dikongsi menerusi portal CovidNoW, sebanyak 3.2% lagi diperlukan untuk mencecah angka 90% populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.

Setakat semalam juga, sebanyak 94.2% atau 22,059,329 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 71,779 atau 2.3% daripada mereka telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Data itu juga menunjukkan sebanyak 237,245 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 103,021 dos pertama dan 134,224 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 43,933,988 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.