Tembok penahan runtuh bersama kereta

Tembok penahan runtuh bersama kereta

Punca runtuhan pada 9.30 pagi itu tidak diketahui.

Proton Saga yang jatuh bersama runtuhan tembok penahan di Lengkok Halia, George Town hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebuah kereta jatuh bersama sebahagian tembok penahan tebing yang runtuh dekat Lengkok Halia, George Town, Pulau Pinang hari ini.

Datuk Bandar Pulau Pinang, Yew Tung Seang, berkata punca runtuhan pada 9.30 pagi itu tidak diketahui dan pihaknya sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk merangka tindakan lanjut.

“Memandangkan ini kawasan rizab JPS, mereka perlu membuat kerja-kerja pembaikan,” katanya dipetik NST.

Yew berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai mengalihkan kenderaan dari kawasan itu, selepas menyedari beberapa rekahan pada struktur tembok penahan itu semalam.

Katanya, pemeriksaan pagi tadi mendapati enam kenderaan masih diletakkan bersebelahan tembok penahan itu, dengan lima pemilik berjaya diminta mengalihkan kenderaan dan gagal berbuat terhadap sebuah lagi kenderaan.

“Malangnya, sebahagian daripada tembok penahan runtuh, sekali gus menyebabkan kereta terbabit turut jatuh bersama.”

Rakaman selama 13 saat yang tular di media sosial menunjukkan sebuah Proton Saga jatuh bersama tembok penahan yang tiba-tiba runtuh itu.

Sementara itu, JKR Daerah Timur Laut dalam kenyataan di Facebook mengumumkan penutupan laluan di bahagian belakang Lengkok Halia susulan mendapan permukaan jalan dekat laluan air di kawasan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.