
Bagaimanapun kebenaran itu tidak termasuk mana-mana aktiviti melibatkan sentuhan fizikal seperti praktikal pengurusan jenazah tanpa alas, menurut Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam kenyataan.
“Hanya jemaah dan petugas yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan menghadiri aktiviti pengimarahan di masjid atau surau, selain pengurusan dan pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 serta ziarah kubur dibenarkan mengikut SOP Covid-19 semasa,” menurut kenyataan itu.
Aktiviti solat Jumaat, fardu dan sunat dibenarkan di Masjid Jamek Negeri, semua masjid bahagian, daerah, daerah kecil, kariah dan surau, dengan mengambil kira keluasan ruang solat bagi membolehkan jemaah mempraktikkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1m.
“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah menggunakan pelitup muka sepanjang masa, mengimbas suhu badan, mendaftar kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau buku rekod, membawa sejadah atau alas sujud sendiri, berwuduk di rumah, tidak bersesak ketika masuk dan keluar dan tidak bersalaman.
“Sebarang bentuk jamuan tidak dibenarkan, kecuali makanan berbungkus untuk dibawa balik dan mana-mana individu yang masih dalam tempoh notis kuarantin Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan serta berisiko mempunyai gejala dilarang menghadiri aktiviti di masjid dan surau.”