Pegawai tinggi Parti Komunis China dikait pantau wartawan siasat 1MDB disingkir

Pegawai tinggi Parti Komunis China dikait pantau wartawan siasat 1MDB disingkir

Penyingkiran Sun Lijun daripada parti itu atas dakwaan rasuah adalah petunjuk pertuduhan rasmi akan menyusul.

Kempen antirasuah Presiden Xi Jinping dilihat masih kukuh dengan penyingkiran Sun Lijun, yang dikatakan terbabit dalam cadangan Beijing untuk membantu seorang bekas Perdana Menteri Malaysia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai kanan penguatkuasaan undang-undang China disingkirkan daripada Parti Komunis, ketika pelbagai siasatan rasuah dijalankan.

The Wall Street Journal melaporkan Sun Lijun yang terbabit dalam cadangan kerajaan China untuk membantu seorang bekas Perdana Menteri Malaysia, dengan menawarkan pemantauan ke atas wartawan WSJ yang menyiasat hubungan ahli politik itu dengan 1MDB.

Sun, ketika menjadi naib menteri keselamatan awam, mempunyai hubungan luas di seluruh sistem perundangan, termasuk seorang pegawai polis kanan China yang merupakan presiden Interpol, tetapi kini menjalani hukuman penjara 13 tahun di China kerana menerima rasuah.

Penyiasat dalaman, pada April 2020 mendakwa Sun disiasat, kini mendakwanya terbabit pelbagai salah laku peribadi, kewangan dan politik.

Penyingkiran Sun daripada parti itu menunjukkan pertuduhan rasmi terhadapnya akan menyusul.

WSJ melaporkan notis daripada Suruhanjaya Pemeriksaan Disiplin Pusat parti itu mendakwa Sun menyebarkan khabar angin, melakukan penipuan, kecurian, pembaziran dan aktiviti tidak bermoral, serta tidak setia kepada parti, kepercayaan tahayul dan kecuaian dalam menghentikan penularan Covid-19.

Terdapat juga laporan mengaitkan Sun dengan seorang eksekutif berpangkat tinggi dalam syarikat internet Shenzhen, Tencent Holdings Ltd, yang ditahan atas dakwaan perkongsian maklumat secara haram daripada aplikasi WeChat syarikat itu.

Siasatan terhadap Sun menunjukkan kempen antirasuah yang dilancarkan pada permulaan pemerintahan Presiden Xi Jinping belum berakhir kerana beliau dilihat akan terus berkuasa.

Pendakwaan pegawai kanan China atas tuduhan rasuah menjadi ciri utama Xi hampir sembilan tahun beliau menerajui parti pemerintah.

Butiran mengenai tuduhan rasuah selalu kabur, tetapi banyak yang dilancarkan terhadap pegawai dianggap saingan Xi.

Mengulas laporan itu di Twitter, wartawan dan pengarang Billion Dollar Whale, Tom Wright, mendakwa Sun turut berperanan sebagai “pelindung” kepada ahli perniagaan buruan dan watak utama 1MDB, Low Taek Jho.

Beliau mempersoalkan penyingkiran Sun daripada Parti Komunis akan membawa kesan apa kepada Low, memandangkan ramai yang menganggap dia bersembunyi di China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.