
Lokman, selaku Orang Kena Saman (OKS) minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim MM Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 3 Mei pukul 10.55 malam, OKS melayari aplikasi Facebook menggunakan profil akaun Lokman Adam dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar berhubung kemasukan warga India penyebab penyebaran virus Covid-19.
Hantaran itu dilihat pada 9 Mei pukul 4.40 petang di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Pertuduhan kedua, pada 9 April pukul 10.38 malam OKS didakwa menggunakan aplikasi Facebook menerusi akaun sama dengan niat menyebabkan kebimbangan orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar melibatkan seorang pegawai polis di Pahang yang meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin Covid-19.
Hakikatnya, beliau meninggal dunia bukan berpunca daripada vaksin tetapi serangan jantung.
Hantaran itu pula dilihat pada 11 April pukul 8.55 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.
Atas kedua-dua pertuduhan itu, OKS didakwa di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan berterusan, OKS boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu ketika prosiding, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kalmizah Salleh mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.
“Pihak kami juga meminta OKS menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk simpanan memandangkan status Lembah Klang yang sudah berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Logen Eskander yang mewakili OKS merayu agar wang ikat jamin dikurangkan pada kadar minimum berikutan OKS tidak bekerja dan perlu menyara 11 anak dengan lapan daripadanya sedang belajar.
“Anak guam saya ketika ini tidak bekerja dan hanya membantu isteri menjual sate.
“Tiada sebab untuk mahkamah menyimpan pasport kerana sempadan negara masih ditutup dan pihak pendakwaan hanya memberi anggapan bahawa ia (sempadan negara dibuka), belum berlaku,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Edwin kemudian membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 25 Nov untuk sebutan semula kes.