
“Tiada perkara melibatkan kelemahan yang akan dibiarkan begitu sahaja ketika siasatan bagi kita mencari berapa serius kebocoran itu,” katanya menurut laporan Kosmo.
Kelmarin, Lowyat.net dalam laporannya mendakwa pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengandungi maklumat peribadi empat juta warganegara yang diperoleh daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui myIDENTITY, disenaraikan untuk dijual dalam sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.
Pangkalan data itu didakwa dijual pada harga 0.2 Bitcoin yang bersamaan RM35,495.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin semalam dilaporkan berkata, JPN mengesahkan tiada kebocoran maklumat dalam pangkalan data peribadi myIDENTITY kerana sistem kawalan keselamatan data “FireWall” sangat kukuh dan semua maklumat dilindungi.
LHDN dalam kenyataan semalam turut menafikan dakwaan itu kerana hasil siasatan dalamannya mendapati tiada kebocoran data dan maklumat seperti didakwa.
Annuar berkata, pihaknya termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau rapi isu itu, walaupun tiada dakwaan kukuh.
Beliau turut mengarahkan SKMM menilai semula Akta SKMM 1998 bagi memastikan keselamatan siber tempatan dapat dikendalikan dengan perundangan ketat.
Beliau memberi jaminan keselamatan siber di negara ini masih kukuh, malah Malaysia berada di kedudukan ke-10 dalam indeks global tahun lalu dan kelima dari segi komitmen serius.