Wajibkan ujian RT-PCR untuk ke Langkawi, bacaan ujian air liur tak tepat, dakwa persatuan pelancongan

Wajibkan ujian RT-PCR untuk ke Langkawi, bacaan ujian air liur tak tepat, dakwa persatuan pelancongan

Tindakan tegas kerajaan itu perlu bagi memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak terhenti kali kedua akibat penularan semula wabak.

Zainudin Kadir berkata, tindakan tegas kerajaan itu perlu bagi menjaga kebajikan pelancong dan penduduk tempatan, selain memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak terhenti kali kedua. 9gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mewajibkan ujian RT-PCR untuk masuk ke Langkawi selepas mengambil kira ujian sampel air liur yang dilaksanakan ketika ini tidak tepat, untuk menyekat penularan Covid-19 di pulau peranginan itu, kata Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA).

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir, berkata ini kerana ujian menggunakan sampel air liur yang diamalkan ketika ini tidak tepat dan gagal menyekat penularan wabak terbabit.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif Covid-19 membabitkan pelancong kanak-kanak berusia tiga tahun ketika melancong di pulau ini, Jumaat lalu.

“Difahamkan, ibu dan ayah kanak-kanak itu negatif ketika saringan RTK-Antigen menggunakan air liur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) iaitu sebelum mereka berlepas ke Langkawi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Zainudin berkata, tindakan tegas kerajaan itu perlu bagi menjaga kebajikan pelancong dan penduduk tempatan, selain memastikan industri pelancongan di Langkawi tidak terhenti kali kedua.

“LTA faham purata penerbangan ke Langkawi sekitar 15 penerbangan sehari dan jika ujian RT-PCR diwajibkan ia menyebabkan pelancong perlu tempoh masa lama dan kesesakan berlaku di KLIA2.

“Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur lebih cepat, tapi tidak boleh dipercayai 100% untuk kesan virus Covid-19, jadi kita perlu beralih segera kepada RT-PCR kerana hasil keputusannya lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata, kes diumumkan JKN Kedah itu telah membuka mata bahawa satu kaedah yang lebih baik perlu diperkenalkan untuk menyekat penularan Covid-19 sempena pembukaan projek rintis gelembung pelancongan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.