
JPA dalam satu kenyataan berkata, langkah itu bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Sekiranya pegawai awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan maka pegawai tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.
“Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” menurut kenyataan itu.
Menurut JPA, semua pegawai perkhidmatan awam dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi mereka sebelum 1 Nov dan hendak hadir secara “walk-in” ke pusat pemberian vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh kerajaan.
“Bagi pegawai yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, pegawai hendaklah mengemukakan kepada Ketua Jabatan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” menurut kenyataan.
Tambah JPA, sehingga kini jumlah peratusan pegawai awam persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98%, manakala kelompok mereka yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6% iaitu 16,902 orang.