Laporan harian Covid-19 perlu utama kadar kematian, jumlah kes tak lagi relevan, kata bekas timbalan menteri

Laporan harian Covid-19 perlu utama kadar kematian, jumlah kes tak lagi relevan, kata bekas timbalan menteri

Dr Lee Boon Chye berkata laporan menekankan jumlah kes tidak lagi relevan kerana vaksin yang ada tidak mampu menghapuskan virus Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Dr Lee Boon Chye berkata, apabila kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa melebihi 90%, jumlah kes kategori 3, 4 dan 5 serta kematian akan menurun walaupun jumlah kes baharu masih tinggi.
PETALING JAYA:
Kaedah pelaporan harian Covid-19 perlu berpandukan kepada kadar kematian dan kes Kategori 3 hingga 5 selepas negara mencapai kadar vaksinasi dewasa melebihi 90%, kata bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, laporan harian bersandarkan kepada jumlah kes tidak lagi relevan kerana vaksin yang ada ternyata tidak mampu menghapuskan virus Covid-19 dalam tempoh terdekat serta melandaikan kes Covid-19 dengan mendadak.

“Apabila kadar vaksinasi dalam kalangan dewasa melebihi 90%, jumlah kes Kategori 3, 4 dan 5 serta kematian akan menurun walaupun jumlah kes baharu masih tinggi.

“Ketika itu data yang menjadi keutamaan adalah kadar kematian dan kadar kes Kategori 3, 4 dan 5, bukan lagi jumlah kes harian,” katanya kepada FMT.

Menyentuh cadangan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri selepas kadar vaksinasi mencapai 90%, beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, kelonggaran itu perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan memantau projek gelembung pelancongan Pulau Langkawi terlebih dahulu.

“KKM seharusnya memantau kesihatan semua pengunjung ke Langkawi untuk mengenal pasti gelembung pelancongan yang bermula 16 September itu tidak membawa kepada kluster baharu,” katanya.

Buka sempadan antarabangsa

Mengulas persediaan negara membuka sempadan antarabangsa, Lee mencadangkan kerajaan hanya membenarkan pelancong yang lengkap divaksin dari negara yang tidak mempunyai varian baharu seperti Mu dan R1 yang dikesan di Amerika Syarikat serta Jepun.

“Akan tetapi pengiktirafan sijil vaksinasi (immunity passport) perlu diuruskan melalui mekanisme G to G (kerajaan ke kerajaan), melalui Kementerian Luar dan KKM untuk mengelakkan masalah sijil palsu,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga perlu memperluaskan fungsi aplikasi MySejahtera kepada pelancong asing dalam usaha negara memantau pergerakan “inbound travellers” semasa mereka berada di Malaysia.

“Kita perlu mengambil maklum bahawa kita tidak dapat hapuskan Covid-19 dalam masa terdekat dengan vaksin sedia ada, maka terpaksalah kita mengurus kehidupan seterusnya bersama Covid-19,” katanya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, kebenaran rentas negeri dijangka dilaksanakan bulan depan bersandarkan kepada data selepas 90% populasi dewasa lengkap divaksin.

“Kemungkinan pada Oktober sama ada pada peringkat awal atau selewat-lewatnya pertengahan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN Bilangan 3/2021 pada 27 September.

Dalam mesyuarat itu, Muhyiddin berkata, turut dibincangkan adalah pembukaan sempadan negara kepada pelancong, peniaga dan usahawan untuk datang ke Malaysia dan membolehkan rakyat Malaysia melancong ke negara yang menerima individu lengkap vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.