Kerjasama Umno-Bersatu, PRU15 jadi cabaran terbesar GRS, kata penganalisis

Kerjasama Umno-Bersatu, PRU15 jadi cabaran terbesar GRS, kata penganalisis

Cabaran terbesar gabungan itu apabila menjelang PRU15, lebih-lebih lagi dengan khabar yang mengatakan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Kemungkinan pertembungan kerusi antara parti dalam GRS pada PRU15 masih boleh berlaku berdasarkan keadaan yang berlaku pada pilihan raya negeri lalu, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Selepas genap setahun Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah negeri ini, penganalisis politik berpendapat gabungan berkenaan mampu melangkah lebih jauh, sekali gus mengekalkan kuasa mereka sehingga tamat penggal.

Bagaimanapun cabaran terbesar mereka pastinya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, lebih-lebih lagi dengan khabar yang mengatakan Umno tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ikatan kebersamaan yang kukuh walaupun sering berdepan pelbagai cabaran menjadi kunci kekuatan GRS sehingga kini.

Katanya, tidak mustahil GRS mampu melangkah lebih jauh sekiranya permuafakatan itu diteruskan sebagai satu pakatan politik yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Tony Paridi Bagang.

“Iklim politik hari ini turut terkesan dengan pandemik Covid-19 dan parti pemerintah perlu stabil serta mempunyai ikatan kebersamaan agar menjadi kerajaan yang mengutamakan rakyat.

“GRS ketika ini telah berjaya melalui cabaran politik dalaman dan luaran (politik nasional) dan jika kebersamaan ini diteruskan dan mereka kekal bersatu sebagai satu pakatan politik yang berpaksikan kepentingan rakyat, GRS mampu terus melangkah lebih jauh,” katanya kepada FMT.

Tony berkata, kemungkinan pertembungan kerusi antara parti dalam GRS pada PRU15 masih boleh berlaku berdasarkan keadaan yang berlaku pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, namun ia bergantung kepada banyak faktor kerana persefahaman boleh berlaku dan dicapai pada saat-saat akhir.

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat, jangkaan ketidaksefahaman antara Bersatu dan Umno di Sabah pada PRU akan datang hanyalah sebahagian daripada daripada khabar angin.

Katanya, pelbagai khabar angin berhubung kesetiaan parti dalam GRS telah banyak kali berlaku sebelum ini tetapi pada akhirnya gabungan itu masih kekal ampuh sehingga kini.

Lee Kuok Tiung.

“Politik tidak dapat lari daripada khabar angin terutama pada zaman atau era media sosial dan sesiapa pun boleh menciptanya, seterusnya boleh menjadi ‘viral’ di media sosial,” katanya.

Beliau berkata, keutuhan GRS dapat dilihat apabila mereka berulang kali menyatakan komitmen untuk mengekalkan gabungan itu sebagai platform untuk mengurus tadbir kerajaan Sabah.

Katanya, kerjasama pada PRU15 nanti adalah satu perkara lain buat GRS tetapi beliau yakin gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PBS itu akan mencapai kesepakatan.

“Bermula daripada perjanjian persefahaman (MoU) antara parti-parti dalam GRS pada Januari lalu sehinggalah terbaharu yang membawa kepada pertukaran perdana menteri, para pemimpin GRS telah berulang kali memberikan komitmen mereka untuk menjadikan GRS sebagai platform untuk mengurus tadbir kerajaan Sabah.

Tambah beliau, sebagaimana pilihan raya lepas, soal pembahagian kerusi dan pemilihan calon tetap akan menjadi cabaran paling “memeningkan kepala” bukan hanya kepada GRS tetapi semua pakatan politik lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.