Kerajaan pertimbang buka sempadan negara selepas masuk fasa endemik, kata Hamzah

Kerajaan pertimbang buka sempadan negara selepas masuk fasa endemik, kata Hamzah

Menteri Dalam Negeri berkata, rentas sempadan oleh rakyat negara ini atau warga asing akan tertakluk kepada SOP yang akan ditentukan.

Hamzah Zainudin turut mengumumkan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengambil alih tugas kawalan sempadan negara daripada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
BUKIT KAYU HITAM:
Pembukaan pintu sempadan negara bagi membenarkan kemasukan pelancong asing ke negara ini hanya akan ditentukan selepas negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, pada masa ini negara masih berada dalam fasa pandemik wabak itu dan kesediaan untuk peralihan ke fasa endemik akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Apabila kita telah bersedia, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan, sekarang ini masih dalam isu fasa pandemik, kalau kita sudah bersedia boleh masuk ke fasa endemik.

“Sebenarnya, (agensi penguatkuasaan yang mengawal pintu masuk sempadan) Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah bersedia, kami sudah bersedia (untuk pintu sempadan negara dibuka),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada polis di sini.

Hamzah berkata, kebenaran rentas pintu sempadan negara oleh rakyat negara ini atau warga asing juga akan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kemudian.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan kebocoran maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentiti, Hamzah menegaskan hanya agensi kerajaan sahaja yang dibenarkan menggunakan maklumat itu.

“Saya sudah maklumkan bahawa kami hanya beri kepada agensi kerajaan sahaja, kami tidak beri kepada pihak swasta. Jadi itu (dakwaan bahawa maklumat itu diberikan kepada pihak swasta) hanya andaian yang dibuat semata-mata,” katanya.

Mengenai pembubaran AKSEM dan penyerahan fungsinya kepada PGA di bawah polis, Hamzah berkata, ia akan menjadikan penyaluran “perintah dan kawalan” daripada pihak atasan berkaitan operasi dan kawalan di sempadan negara lebih mudah dan berstruktur.

“Kami akan pastikan mempunyai tugasan yang fokus kepada masalah yang kita hadapi di sempadan-sempadan. Kami gabungkan tugasan itu supaya PGA akan dapat memastikan segala tugasan yang di bawah AKSEM dulu, PGA juga akan mengambilnya sebagai keutamaan,” katanya.

Hamzah berkata, kesemua aset AKSEM akan diambil alih dan diuruskan oleh PGA, sementara seramai 909 anggota dan pegawai perjawatan asal dalam AKSEM akan dikembalikan kepada agensi masing-masing.

Sebelum ini, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah polis dan Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan itu dilaksanakan.

AKSEM yang ditubuhkan pada Disember 2017 melibatkan keanggotaan daripada lima agensi, iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi AntiDadah Kebangsaan serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.