Keputusan rayuan sabitan hukuman kes dadah anak Mat Sabu 27 Okt

Keputusan rayuan sabitan hukuman kes dadah anak Mat Sabu 27 Okt

Anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, 33, memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara lapan bulan.

Peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam berhujah bahawaterdapat kesilapan pada eksibit botol sampel air kencing yang diambil dan kepincangan rantaian penguasaan sampel tersebut, selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menetapkan 27 Oktober ini untuk keputusan rayuan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan kerana penyalahgunaan dadah.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam, 33, dan Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah.

Terdahulu, Nasar berhujah, dalam kes itu pihak polis hanya mengambil satu sampel urin anak guamnya dan proses pengambilan sampel tersebut tidak mengikut peraturan serta terdapat percanggahan antara keterangan saksi pendakwaan berhubung sampel itu.

“Selain itu, terdapat kesilapan pada eksibit botol sampel air kencing itu dan kepincangan dalam rantaian penguasaan sampel tersebut, selain sampel disimpan terlalu lama sebelum diuji di makmal,” katanya.

Izalina berhujah prosedur pengambilan sebotol sampel urin ke atas perayu (Ahmad Saiful) adalah memadai dan teratur mengikut undang-undang.

“Isu sampel urin dicemari tidak pernah dibangkitkan oleh pihak pembelaan kepada mana-mana saksi pendakwaan dan tiada pada bila-bila masa perayu membuat laporan polis yang mengatakan dia dianiaya berikutan proses pengambilan sampel urin yang kononnya tidak teratur.

“Oleh itu, Majistret (Mohamad Aizat Abdul Rahim) tidak tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan tiada faktor menyebabkan Mahkamah Tinggi perlu mengubah dapatan Majistret. Pihak kami memohon rayuan perayu ditolak dan hukuman ke atasnya dikekalkan,” katanya.

Ahmad Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.

Pada 2 Julai 2020, Ahmad Saiful memfailkan rayuan terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun sama, yang mensabitkannya atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Saiful selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan dan mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.