Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB

Hasan Arifin dilantik Pengerusi TNB

Ahli Parlimen Rompin itu menggantikan Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Pelantikan Hasan Arifin sebagai Pengerusi TNB berkuat kuasa 1 Okt ini. (Gambar Parlimen)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin dilantik sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkuat kuasa 1 Okt ini.

Hasan, 68, menggantikan Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar sejak 30 Ogos lalu.

Hasan menerusi kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas kepercayaan dan amanah yang diberikan itu.

“Dalam memegang jawatan ini, saya bertanggungjawab terhadap semua pemegang saham dan lebih utamanya pemegang amanah,” katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 60% saham TNB dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, beliau akan meneruskan kecemerlangan yang dicapai pimpinan terdahulu dengan memastikan pulangan dividen adil dan berpatutan kepada semua pemegang saham, selain mengamalkan amalan tadbir urus yang baik, telus serta bertanggungjawab.

Hasan pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Pahang dari 1995 hingga 1999, mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari 2015 hingga 2018 dan Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad pada tahun lalu.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Lembaga Pembangunan Wilayah Pahang Tenggara (DARA) dari 1995 hingga 1998, menganggotai Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sejak 1991 hingga 1995 dan UDA Holdings Berhad (2010 hingga 2015).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.