
“Adakah pelajar ini akan dibenarkan menghadiri sekolah atau mereka akan diasingkan?” soal June Leow (PH-Hulu Selangor) di Dewan Rakyat hari ini.
“Ini soalan yang perlu dijawab oleh kerajaan secepat mungkin.
“Kerajaan juga mesti menggariskan SOP sewajarnya supaya ibu bapa boleh membuat keputusan yang betul dalam membenarkan anak mereka disuntik vaksin,” katanya.
Ahli Parlimen dari PKR itu turut mempertikai klausa dalam borang persetujuan vaksin yang mengatakan individu perlu menanggung semua risiko ketika disuntik, termasuk sebarang kesan sampingan negatif.
Katanya, klausa itu membimbangkan ibu bapa yang juga mahu jawapan sama ada anak mereka layak mendapat pampasan sekiranya mengalami kesan sampingan serius selepas menerima suntikan.
“Ada ibu bapa yang bimbang menandatangani borang persetujuan itu kerana klausa berkenaan menyatakan individu yang disuntik vaksin perlu menanggung risikonya,” kata Leow.
Sekolah dan institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan dijadualkan memulakan semula kelas bulan depan.
Kementerian Kesihatan memulakan program vaksinasi untuk remaja pada 20 Sept dengan sasaran menyuntik 3.2 juta individu.
Ia meletakkan sasaran memvaksin 60% golongan itu dengan sekurang-kurangnya satu dos pada November, dan 80% divaksin lengkap sebelum sekolah dibuka semula untuk sesi 2022.