
Ini kerana, katanya, sistem kawalan keselamatan data “FireWall” sangat kukuh dan semua maklumat dilindungi.
“Kementerian saya sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin.
“Jadi, jangan bimbang tentang data-data yang dipegang oleh JPN, kementerian saya akan memastikan semua agensi yang menggunakan data MyIdentiti daripada JPN segera mengambil langkah ketat selepas ini,” katanya dipetik Bernama dalam sidang media khas penyerahan watikah pelantikan Ketua Polis Negara di Bukit Aman.
“JPN segera mengambil langkah keselamatan tinggi dan sentiasa mematuhi polisi penggunaan sistem myIDENTITY bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.”
Beliau berkata, JPN sudah membuat laporan kepada polis pada Isnin lalu serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia semalam.
Semalam, laporan Lowyat.net mendakwa pangkalan data JPN mengandungi maklumat peribadi empat juta warganegara dijual di sebuah forum pasaran pangkalan data terkenal.
Pangkalan data JPN itu didakwa dijual pada harga 0.2 Bitcoin yang bersamaan RM35,495.
Menurutnya, pangkalan data itu turut didakwa mengandungi maklumat daripada portal rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menggunakan “Application Programming Interfaces (API)” yang dibuat untuk myIDENTITY.
Sistem myIDENTITY kendalian JPN membolehkan warganegara dan pemastautin tetap mencapai dan mengemas kini maklumat peribadi semasa berurusan dalam talian dengan agensi kerajaan.
Sementara itu, LHDN menafikan dakwaan kebocoran jutaan data peribadi rakyat Malaysia untuk sistem myIDENTITY seliaan JPN yang diperoleh daripada laman sesawangnya.
Katanya, hasil siasatan dalaman mendapati tiada kebocoran data dan maklumat seperti didakwa.
“LHDN memberi jaminan semua data dan maklumat yang berada dalam simpanan LHDN adalah selamat kerana ia dilindungi teknologi keselamatan data diiktiraf,” katanya dalam kenyataan.
LHDN berkata, ia sedang bekerjasama dengan JPN, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneliti semua kemungkinan berhubung dakwaan itu.
Ia kesal dengan laporan dan dakwaan itu yang boleh menghakis keyakinan orang ramai, khususnya pembayar cukai terhadap keselamatan data serta maklumat mereka.
LHDN menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati dengan dakwaan tular sedemikian dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak yang berniat mengelirukan masyarakat.