
Perunding pengangkutan veteran Rosli Azad Khan berkata, kerajaan telah menjelaskan keutamaan pengangkutannya dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), yang menekankan perlunya meningkatkan ketersambungan dan prasarana pengangkutan.
Bagaimanapun katanya, ironinya kerajaan sendiri menjadi halangan kepada projek KVDT2, yang pada dasarnya berfungsi untuk menggantikan landasan kereta api yang usang.
Projek KVDT2 membabitkan pemulihan landasan kereta api sepanjang 265km dari Salak Selatan di Kuala Lumpur ke Seremban dan dari Simpang Pelabuhan Klang berhampiran MidValley di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Projek ini ditangguhkan dua kali sejak 2017 – dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kemudian diteruskan semula sebelum dibatalkan sekali lagi oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membawa kepada tuntutan mahkamah oleh kontraktor, Dhaya Maju-LTAT.
Rosli berkata, Pelan Induk Pengangkutan menganjurkan peralihan lalu lintas yang besar, baik penumpang mahupun barang, dari jalan raya ke landasan kereta api.
“Pembangunan prasarana landasan kereta api harus mengambil kira strategi ini dan memastikan bahawa pengangkutan kereta api, termasuk KVDT2, akan dapat menampung peralihan besar ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mesti berhenti menangguhkan KVDT2 kerana projek itu adalah komponen utama pengangkutan awam di Lembah Klang yang menyediakan perkhidmatan bagi fret dan penumpang dalam jumlah besar.
“Keselamatan dan kapasiti yang tersedia, terutamanya bagi penumpang, harus diberi keutamaan dalam RMK12 sebelum lebuh raya dan infrastruktur pengangkutan lain seperti ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) terlaksana.

“Laluan pintas Pelabuhan Klang-Serendah juga harus diberi keutamaan paling tinggi agar kereta api fret dapat memintasi KL Sentral. Mereka tidak perlu menunggu ECRL, ia patut terus berjalan sendiri,” tambahnya.
Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Abdul Razak Md Hassan berkata, lebih banyak kelewatan hanya akan membahayakan keselamatan orang ramai.
Beliau menggesa kerajaan supaya kembali berunding dengan kontraktor projek, selain menambah, sekiranya proses perundangan berterusan, bukan sahaja penangguhan akan berlarutan, malah akan membantutkan kemajuan KTMB.
“Sekiranya penangguhan ini berlarutan, KTMB akan turut berdepan risiko kehilangan pendapatan,” tambahnya.