
Mangsa berusia 20an itu pada mulanya ditawarkan rawatan suntikan pemutihan kulit oleh suspek yang juga saudaranya pada Ogos tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, suspek mengaku mempunyai kelayakan serta pengalaman untuk menjalankan rawatan itu.
“Dalam tempoh dua bulan pada awal tahun ini, mangsa menjalani 17 rawatan di rumah suspek selepas dimaklumkan saudaranya itu mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat daripada sebuah pusat kecantikan.
“Mangsa juga sudah membuat beberapa bayaran kepada suspek berjumlah RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘Face Jab’ dan ‘Dripping’,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.
Shafien berkata, bermula Mac lalu, mangsa mula mengalami masalah kulit yang teruk dan sebaik mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan, mangsa dikatakan menerima rawatan kulit yang salah dan kini menghadapi risiko penyakit buah pinggang.
Beliau berkata, mangsa menghubungi pusat rawatan kecantikan terbabit dan dimaklumkan suspek bukan kakitangan pusat berkenaan serta mengaku tidak pernah memberi kebenaran untuk rawatan kecantikan dijalankan di luar premis.
“Mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis di Balai Polis Tumpat kerana mengesyaki ditipu suspek.
“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Kami ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dan sentiasa membuat semakan terlebih dahulu sebelum mendapatkan sebarang jenis perkhidmatan yang ditawarkan dan jangan mudah mempercayai walaupun dakwaan itu datangnya daripada individu yang dikenali,” katanya.