Serba Dinamik catat perolehan RM1.21 bilion bagi akhir suku kedua 2021

Serba Dinamik catat perolehan RM1.21 bilion bagi akhir suku kedua 2021

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Abdul Karim Abdullah berkata perniagaan mencatatkan prestasi berdaya tahan dalam menghadapi situasi mencabar pada suku tersebut.

Prestasi itu didorong terutama oleh aktiviti rancak daripada operasi dan penyenggaraan di rantau Timur Tengah dan Malaysia, yang menyumbang RM1.1 bilion atau 90.6% kepada jumlah perolehan.
KUALA LUMPUR:
Serba Dinamik Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM14.92 juta bagi suku yang berakhir 30 Jun, 2021 manakala perolehan berjumlah RM1.21 bilion bagi tempoh sama.

Prestasi itu didorong terutama oleh aktiviti rancak daripada operasi dan penyenggaraan (O&M) di rantau Timur Tengah dan Malaysia, yang menyumbang RM1.1 bilion atau 90.6% kepada jumlah perolehan, menurut syarikat itu dalam kenyataan pada Rabu.

Ia menambah, segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) merupakan penyumbang kedua terbesar kepada perolehan dengan RM100.4 juta atau 8.3% kepada jumlah perolehan.

Segmen teknologi maklumat dan komunikasi (CT) pula memberikan sumbangan sebanyak RM11.8 juta atau 1.0% kepada jumlah perolehan pada tempoh suku yang dinilai, menurutnya.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu menjelaskan tiada perbandingan bagi maklumat kewangan yang tersedia bagi tempoh kewangan ini susulan perubahan tahun kewangan syarikat kepada 30 Jun daripada 31 Disember seperti yang diumumkan pada 7 Mei, 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Abdul Karim Abdullah berkata perniagaan mencatatkan prestasi berdaya tahan dalam menghadapi situasi mencabar pada suku tersebut.

“Semua segmen perniagaan kami merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Syarikat terus berusaha dan proaktif untuk meraih peluang baharu dalam bidang bukan minyak dan gas.

“Kami giat mengembangkan ruang kami dan kesalinghubungan perniagaan dalam melangkah maju. Ini selari dengan Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Bagi tempoh kumulatif 18 bulan, syarikat mencatatkan jumlah perolehan sebanyak RM8.6 bilion dengan keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai masing-masing pads RM848.4 juta dan RM758.4 juta.

Mohd Karim berkata pihaknya juga mahu memberi kepastian kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan tetap berjalan seperti biasa dan akan terus meninjau peluang perniagaan bagi meningkatkan keuntungan syarikat.

“Semakan Semula Bebas Khas juga berjalan lancar dan kami berharap hasil dapatannya dapat diumumkan pada suku keempat tahun ini bagi melenyapkan semua keraguan mengenai syarikat ini.

“Kami juga kekal yakin terhadap prospek kumpulan meskipun dalam keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.