Sahkan sama ada Notis Merah dikeluarkan terhadap editor Sarawak Report, Interpol digesa

Sahkan sama ada Notis Merah dikeluarkan terhadap editor Sarawak Report, Interpol digesa

Empat belas organisasi hak asasi manusia dan kebebasan bersuara menggesa Interpol bersikap tegas dalam apa dilihat sebagai “penyalahgunaan sistem” oleh kerajaan Malaysia.

Empat belas kumpulan masyarakat sivil mendakwa berlaku “penyalahgunaan sistem” oleh kerajaan Malaysia.
PETALING JAYA:
Kumpulan sivil antarabangsa menggesa Interpol supaya mengesahkan sama ada Notis Merah telah dikeluarkan terhadap Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle Brown susulan waran tangkap terhadapnya di Malaysia berkaitan kesalahan fitnah jenayah.

Dalam kenyataan ditandatangani 14 organisasi hak asasi manusia dan kebebasan bersuara termasuk Article 19 dan Blueprint for Free Speech, kumpulan berkenaan menyuarakan kebimbangan Rewcastle Brown ditahan apabila pergi ke Sepanyol untuk lawatan peribadi, hujung minggu ini.

Mereka turut menggesa Interpol bersikap tegas dalam apa dilihat sebagai “penyalahgunaan sistem” oleh kerajaan Malaysia, dengan menambah wanita itu berdepan kemungkinan ditahan dan diekstradisi ke negara ini.

Minggu lalu, waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle Brown di Kuala Terengganu kerana gagal hadir di mahkamah untuk menghadapi tuduhan fitnah jenayah terhadap Sultanah Nur Zahirah.

Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan waran itu susulan permohonan oleh pihak pendakwaan.

Rewcastle Brown sepatutnya didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kenyataan dibuat terhadap Sultanah Nur Zahirah dalam bukunya The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Organisasi terlibat menyuarakan kebimbangan bahawa Biro Pusat Kebangsaan Malaysia mungkin menggunakan Interpol untuk mengganggu wartawan itu menerusi proses kehakiman.

Dalam kenyataan, Rewcastle Brown berkata dia bimbang pihak yang cuba menggunakan Interpol untuk menahannya sebagai pengganas pada 2015 akan berusaha mendapatkan satu lagi Notis Merah untuk memastikan penangkapannya di mana-mana saja di dunia.

Katanya, kerajaan Malaysia cuba menggambarkannya sebagai penjenayah kerana mendedahkan rasuah, menggunakan kesalahan ‘fitnah jenayah’ yang tidak wujud di UK.

Sementara itu, Bruno Min, Pengarah Undang-undang di NGO Fair Trials menggesa Interpol menunjukkan bahawa ia tidak bertoleransi dengan usaha menyalahgunakan badan keselamatan itu sebagai alat penindasan.

Sarah Clarke dari Article 19 juga berkata organisasi keselamatan itu mesti menyedari tindakan itu sebagai satu “cubaan menggertak.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.