Permohonan semak pesalah jenayah seksual kanak-kanak tertinggi di Selangor

Permohonan semak pesalah jenayah seksual kanak-kanak tertinggi di Selangor

Ia disusuli Sarawak yang menerima permohonan menyemak status 680 individu dalam senarai pesalah jenayah seksual dan Kedah (657).

Rina Harun berkata, status 4,771 individu disemak dalam senarai pesalah jenayah seksual kanak-kanak dari 2019 hingga Julai 2021.
PETALING JAYA:
Selangor menerima permohonan untuk menyemak status 1,299 individu sama ada mereka mempunyai rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun.

Jumlah itu tertinggi di seluruh negara, diikuti Sarawak dengan 680 orang dan Kedah (657).

Dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat terhadap pertanyaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Rina berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat menerima 279 permohonan bagi menyemak pesalah jenayah seksual kanak-kanak daripada pelbagai agensi dan individu.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 4,771 individu disemak status mereka dari 2019 hingga Julai 2021.

“Berdasarkan rekod JKM, semua individu yang disemak tidak mempunyai rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak.”

Beliau berkata, maklumat pelaku yang disabitkan kesalahan terhadap kanak-kanak yang diperolehi daripada pendaftar mahkamah akan dikemas kini dalam sistem semakan pesalah jenayah seksual kanak-kanak setiap tiga bulan.

“Sistem semakan pesalah jenayah seksual kanak-kanak bukanlah satu-satunya kaedah menghalang jenayah, namun ia merupakan antara pendekatan bagi melindungi kanak-kanak dan mengekang jenayah terhadap kanak-kanak daripada berlaku serta berulang.

“Seseorang yang ingin mengambil pekerja dalam bidang berkaitan pengurusan kanak-kanak boleh membuat semakan untuk memastikan individu yang diambil bekerja bebas daripada rekod jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.