
Tertuduh, Nursahidah Amran, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan hakim Norita Mohd Ardani, menurut laporan Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh Raid Hazim Ratno Hidayat berusia tujuh bulan dengan menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala mangsa dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, di Ipoh antara 7 pagi hingga 2.45 petang, 22 September 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu penganiayaan terhadap mangsa hingga menyebabkan kecederaan fizikal pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman dan Afiqah Izzati Mazlan mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili dua peguam, Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Mastor.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan mangsa masih kritikal selain mangsa dan tertuduh tinggal berhampiran.
Pihak pembelaan pula memohon supaya jumlah jaminan yang rendah ditawarkan kepada anak guam mereka memandangkan tertuduh sebelum ini hanya bekerja sebagai pengasuh dan suaminya pula bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM1,200 sebulan.
Norita kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan, iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi dalam kes itu.
Beliau turut menetapkan kes disebut semula pada 30 November depan.
Sebelum ini, media pernah melaporkan mengenai penahanan seorang pengasuh wanita berusia 22 tahun kerana disyaki cuba membunuh bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan.