
Setakat ini, hanya remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah mula menerima vaksin dan ia juga sebagai persediaan untuk sesi persekolahan secara fizikal yang akan dimulakan semula 3 Okt ini.
Kew Seih Teck dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kanak-kanak sudah terlalu lama tidak ke sekolah dan sudah pasti pembelajaran asas khususnya mereka yang berada di Darjah Satu hingga Tiga menjadi persoalan.
Katanya, tidak semua kanak-kanak dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) selain keberkesanannya juga tidak menyeluruh.
“Kalau hanya tutup beberapa bulan mungkin boleh ‘runding’ tapi ini sudah hampir dua tahun. Adakah kanak-kanak ini dapat pembelajaran asas mereka terutama yang berada di Darjah Satu hingga Tiga? Tanpa pembelajaran yang kukuh, apakah masa depan anak-anak kita?,” katanya kepada FMT.

Mengulas mengenai vaksin kepada kanak-kanak, Kew yang juga pakar perubatan berkata, perkara itu perlu dikaji sepenuhnya terlebih dahulu.
Bagaimanapun beliau berpendapat risiko jangkitan di sekolah tidaklah begitu tinggi berbanding di rumah kerana mereka mungkin mendapat jangkitan daripada ibu bapa, abang atau kakak masing-masing.
“Kita harus mengukur kebaikan dan keburukannya jika sesi persekolahan untuk kanak-kanak ini dibuka semula nanti. Bagi saya, kebaikan lebih banyak sebab itu apabila sekolah dibuka semula sebelum ini, saya adalah golongan ibu bapa yang menghantar anak perempuan yang berusia 11 tahun ke sekolah.
“Sekiranya risiko belum divaksin yang kita khuatiri, maka terpaksalah kita mengambil risiko kemungkinan dijangkiti dan berharap ia tidak begitu serius serta boleh dirawat seperti demam selsema, seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan,” katanya.
Beliau turut mengambil contoh di pusat asuhan apabila berlaku kes penyakit tangan, mulut dan kaki (HFMD), maka pusat berkenaan akan ditutup sementara dan dibuka selepas kawalan terhadap penyakit itu dibuat, namun setakat ini bukti jangkitan wujud di sekolah amat rendah.