Harga siling rumah mampu milik tak selesai masalah, kata ahli ekonomi

Harga siling rumah mampu milik tak selesai masalah, kata ahli ekonomi

Carmelo Ferlito berkata tindakan memanipulasi pasaran hartanah 'secara buatan' menerusi harga siling itu hanya akan menyebabkan harganya meningkat.

Kerajaan perlu menggalakkan mobiliti sosial, berbanding menggalakkan orang ramai membeli rumah mampu milik di kawasan yang berpendapatan rendah, kata Carmelo Ferlito.
PETALING JAYA:
Penetapan harga siling rumah mampu milik walaupun hanya untuk sementara tidak akan mengatasi masalah kekurangan rumah mampu milik, kata seorang ahli ekonomi.

Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan akan melaksanakan penetapan harga siling untuk rumah mampu milik dalam pasaran sekunder dan mengehadkan pembelian bilangan rumah untuk setiap individu bagi membolehkan pasaran hartanah terbabit diakses oleh golongan yang memerlukannya.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito berkata, langkah memanipulasi pasaran hartanah “secara buatan” melalui harga siling hanya akan menyebabkan harganya meningkat.

“Jika akan menetapkan harga siling, mereka yang tidak tergesa-gesa untuk menjual akan memilih untuk menunggu berbanding menyenaraikannya dalam pasaran sekiranya harga itu tidak memenuhi kehendak masing-masing,” katanya kepada FMT.

Carmelo Ferlito.

“Oleh itu jumlah kediaman yang tersedia untuk dibeli akan berkurangan, bukan menjadi semakin banyak.

“Selain itu, dengan mewujudkan insentif negatif untuk menjual walaupun penawaran terhad, harga pasaran sebenar akan meningkat, bukannya jatuh. Lonjakan harga itu akan dilihat sebaik sahaja harga siling dihapuskan.”

Ferlito berkata, ia boleh membuka ruang rasuah dalam pasaran hartanah apabila penjual menawarkan insentif untuk mencari pembeli yang sanggup mengelakkan harga siling itu dengan membuat pembayaran “di luar rekod”.

Beliau menggesa supaya satu pendekatan lebih sesuai dilakukan yang menekankan penyediaan akses kepada kediaman lebih baik berbanding pemilikan kerana biarpun terdapat harga siling namun majoriti pembeli tetap perlu memohon pinjaman untuk membeli rumah terbabit.

Katanya, dengan peningkatan hutang isi rumah ke paras 93.3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2020, penekanan pemilikan harus diganti dengan menawarkan sokongan sewa rumah supaya kumpulan berpendapatan rendah boleh menetap di kawasan yang mempunyai peluang lebih baik.

“Kerajaan perlu menggalakkan mobiliti sosial, berbanding menggalakkan orang ramai membeli rumah mampu milik di kawasan yang berpendapatan rendah yang akhirnya akan menyebabkan golongan miskin kekal miskin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.