Dedah laporan akhir MA63 kepada umum atau cetus kemarahan rakyat, kata aktivis

Dedah laporan akhir MA63 kepada umum atau cetus kemarahan rakyat, kata aktivis

Tindakan meletakkan laporan itu di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 akan menimbulkan perasaan curiga bahawa kerajaan menyembunyikan sesuatu, kata aktivis.

Seorang aktivis berkata, rakyat tahu bahawa 17 daripada 21 isu berkaitan MA63 telah dirunding dan diselesaikan, manakala isu yang belum diselesaikan termasuk royalti minyak, pembayaran tunai bagi petroleum, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua 1966. (Gambar AFP)
KOTA KINABALU:
Putrajaya berisiko mencetuskan kemarahan rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya laporan akhir rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak didedahkan kepada umum, kata aktivis.

Pengerusi Sabah Action Body Advocating Rights Trustees Johan Ariffin berkata, ia akan menimbulkan perasaan curiga bahawa kerajaan menyembunyikan sesuatu apabila laporan itu diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Rakyat Sabah dan Sarawak menunggu selama 58 tahun untuk diiktiraf sebagai rakan kongsi dan mendapatkan semula hak-hak mereka,” katanya kepada FMT.

“Kami menentang laporan akhir itu diletakkan di bawah OSA.”

Johan Ariffin.

Seorang timbalan menteri berkata tahun lalu bahawa laporan akhir Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) untuk meneliti pelaksanaan MA63 bertaraf rahsia di bawah OSA.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili memberitahu Dewan Rakyat bahawa “laporan itu bersifat teknikal dan dokumennya adalah sulit” dan ia perlu dilindungi di bawah peruntukan undang-undang tetapi kerajaan akan membuat pengumuman sebaik pihak terlibat mencapai pendirian yang sama.

Johan berkata, rakyat tahu bahawa 17 daripada 21 isu berkaitan MA63 telah dirunding dan diselesaikan, manakala isu yang belum diselesaikan termasuk royalti minyak, pembayaran tunai bagi petroleum, Akta Laut Wilayah 2012 dan Akta Pelantar Benua 1966.

“Jadi maklumat itu diketahui umum,” kata Johan.

Patrick Sindu

“21 perkara ini adalah sebagai permulaan untuk mengembalikan apa yang telah diambil daripada Sabah dan Sarawak termasuk sumber minyak dan haknya untuk cukai.”

Katanya, tiga kerajaan yang memerintah sejak pilihan raya umum 2018 telah berjanji mengadakan penyelesaian terhadap isu MA63 tetapi sehingga kini tidak ada hasil.

Aktivis hak asasi manusia Sabah Patrick Sindu berkata, rakyat di luar negara juga sebenarnya tahu mengenai isu MA63 dan jika kerajaan persekutuan enggan mendedahkan maklumat yang dianggap penting untuk rakyat Sabah dan Sarawak, maka ia boleh menjejaskan reputasi negara.

Tony Paridi Bagang.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan melakukan “sesuatu yang konkrit” untuk menyelesaikan isu MA63 yang telah lama berlarutan.

Ahli akademik Tony Paridi Bagang dan Romzi Ationg berkata, Ongkili terikat dengan kerahsiaan rundingan yang masih berjalan itu namun mesti ada beberapa perkara yang boleh dikongsi dengan umum tanpa mengganggu proses berkenaan.

“Sekurang-kurangnya maklumkan kepada rakyat mengenai perkembangan perbincangan itu. Mereka tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan tertanya-tanya,” katanya kepada FMT.

Romzi Ationg.

“Justeru amat penting kerajaan menerusi JKK mengenai MA63 memberi maklum balas secara berkesan.”

Romzi juga bersetuju supaya laporan akhir MA63 didedahkan kepada umum tetapi turut menggesa orang ramai supaya memberi ruang kepada Ongkili.

“Rakyat Sabah dan Sarawak berhak tahu mengenai perkara itu tetapi biarkan beliau lakukan apa yang perlu terlebih dahulu. Isu utama mengenai politik Sabah dan Sarawak ini harus ditangani dengan bijak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.