Teliti kesan, keperluan bina jambatan ketiga di P Pinang, kata Fadillah

Teliti kesan, keperluan bina jambatan ketiga di P Pinang, kata Fadillah

Menteri Kerja Raya menasihatkan kerajaan Pulau Pinang meneliti aspek kesan ekonomi sosial, persekitaran dan analisis kos manfaat, sebelum meneruskan perancangan membina jambatan ketiga.

Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut berhubung rancangan membina jambatan ketiga di Pulau Pinang kerana kementeriannya belum menerima permohonan rasmi daripada kerajaan negeri. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan meneliti beberapa perkara dari aspek kesan ekonomi, sosial, persekitaran dan analisis kos manfaat sebelum meneruskan perancangan membina jambatan ketiga bagi menggantikan terowong dasar laut, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof.

“Dalam pelaksanaan apa-apa projek, kita peru lihat beberapa perkara, khususnya kajian awal tentang keperluan projek ini dan seterusnya aspek kesan ekonomi, sosial, persekitaran dan analisis kos manfaat.

“Saya enggan mengulas lanjut kerana setakat ini pihak kementerian tidak menerima permohonan rasmi daripada kerajaan negeri,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan projek naik taraf Laluan Persekutuan FT001 serta projek naik taraf jambatan FT 001/724/5 di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sebagai berkata, kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut telah siap dan akan dibentangkan kepada mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak lama lagi, sejurus segala ulasan daripada agensi teknikal, termasuk agensi persekutuan, diterima.

Katanya, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai hubungan laluan ketiga menggantikan projek terowong dasar laut, namun ia belum dipertimbangkan lagi.

Sementara itu, Fadillah berkata, Kementerian Kerja Raya komited memainkan peranan sebagai penggerak ekonomi negara, dengan sektor pembinaan menyumbang sebanyak 4.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Setiap RM1 juta yang kementerian peruntukan untuk sektor ini, mempunyai kesan pengganda sekurang-kurangnya 2.8 kali.

“Sektor pembinaan sangat penting kerana ia mempunyai kesan limpahan ke atas sektor lain seperti sektor perkhidmatan dan perbankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.