Status pendapatan tinggi tiada makna jika wujud ketidaksamaan, kata ahli ekonomi

Status pendapatan tinggi tiada makna jika wujud ketidaksamaan, kata ahli ekonomi

Menurut Barjoyai Bardai, kita boleh tertipu jika hanya melihat kepada purata pendapatan isi rumah kerana ia tidak mengambil kira jurang antara kaya dan miskin.

Ketika membentangkan RMK12, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan PNK per kapita dan pendapatan isi rumah menjadi keutamaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak boleh taksub dengan status negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan purata isi rumah kerana ukuran ini tidak mengambil kira ketidaksamaan atau taraf hidup, kata ahli ekonomi.

Menjadi negara berpendapatan tinggi, yang pada 2020 memerlukan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita melebihi USD12,535 (RM52,490), tidak semestinya bermakna rakyat lebih kaya atau lebih bahagia, kata mereka, sebagai tindak balas kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen semalam.

Dalam ucapannya, Ismail berkata, negara menyasarkan untuk mengatasi ambang PNK per kapita dalam tempoh lima tahun akan datang dan bagi pendapatan isi rumah negara meningkat melebihi RM10,000.

Bagaimanapun, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kita boleh tertipu jika hanya melihat kepada purata pendapatan isi rumah kerana ia tidak mengambil kira jurang antara yang kaya dan yang miskin.

Berjoyai Bardai.

Tambahnya, gaji median dapat menjadi petunjuk yang lebih baik bagi kestabilan kewangan rakyat.

“Pada masa ini, gaji median hanya sekitar RM2,000, yang bermaksud separuh daripada populasi berpendapatan kurang daripada itu. Ini boleh jadi isu yang perdana menteri patut beri tumpuan, iaitu bagaimana untuk meningkatkan pendapatan sebenar, berbanding purata nasional,” katanya kepada FMT.

“Walaupun kita mencapai ambang tertentu, itu tidak bermakna apa-apa, kerana yang penting adalah sama ada isi rumah mampu meningkatkan taraf hidup mereka. Jika 20% teratas memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi, tetapi bagi orang lain, tiada perubahan, kita mungkin dapat menaikkan beberapa petunjuk tetapi negara tidak berada pada kedudukan yang lebih baik.”

Barjoyai mencadangkan agar kerajaan membangunkan indeks kualitatif dan kuantitatif baharu untuk mengukur sama ada kehidupan rakyat menjadi lebih baik dengan mengambil kira aspek seperti kebahagiaan, berbanding hanya pendapatan.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway bersetuju dengan berkata, metrik yang mengukur ketidaksamaan pendapatan, seperti pekali Gini, juga harus diutamakan dalam perjalanan negara memperoleh status berpendapatan tinggi.

Yeah Kim Leng.

“Ini adalah aspirasi yang baik, tetapi hanya jika pertumbuhan teragih sama rata. Ketidaksamaan adalah isu utama di mana-mana, terutamanya dalam persekitaran pasca wabak akibat impak tidak simetri perintah sekatan disebabkan wabak dengan golongan miskin paling teruk terjejas.

“Golongan kaya akan lebih berpeluang mendapat manfaat daripada pemulihan negara, tetapi mereka yang kurang bernasib baik dan golongan rentan, seperti orang muda, wanita dan ibu bapa tunggal akan berdepan kesulitan.

“Oleh itu, kesan lelehan kekayaan harus dipercepat dan dipertingkat, supaya peluang dapat diwujudkan bagi kelompok yang memerlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.