
Tony Pua daripada DAP berkata, RMK12 adalah inisiatif yang digariskan dalam dokumen dibentangkan semalam dan kira-kira 80% sama dengan RMK11 serta RMK10.
“Kalau begitu, apakah faktor yang akan menjamin kejayaan RMK12 berbanding RMK sebelum ini yang telah gagal mencapai matlamat yang sama,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Damansara itu terus mempersoalkan apakah dasar khusus berlainan daripada versi terdahulu yang boleh dilaksanakan di bawah RMK12.
Katanya, Putrajaya perlu mengkaji punca kegagalan RMK terdahulu dan mendedahkan penemuannya.
“Hanya dengan memahami sebab dan punca kegagalan, kerajaan dapat mengubah atau memperhalusi dasar-dasar untuk menyempurnakan penyampaian dan menjayakan RMK12.
“Kalau kita tak tanya, kita tak jawab mengapa RMK yang dulu tidak dapat mencapai matlamat, RMK12 akan gagal seperti RMK yang lalu.”
Pua berkata, malangnya dasar spesifik langsung tidak dinyatakan dalam RMK12.
“Oleh itu, saya hanya dapat membuat kesimpulan bahawa walaupun RMK12 dipenuhi dengan banyak cadangan, dasar umum yang murni dan wajar disokong, ia akan gagal mencapai matlamatnya seperti RMK yang lalu sebab banyak kementerian masih dipimpin oleh menteri-menteri yang menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka.”