
Loke berkata, memandangkan pembangunan lapangan terbang memakan belanja besar dan kekangan peruntukan dalam belanjawan, maka kerajaan memerlukan satu model pembangunan dan pembiayaan lapangan terbang yang baharu.
“Kalau kita mengambil syarikat ini menjadi satu syarikat milik kerajaan secara penuh tidak disenaraikan.
“Maka kerajaan mempunyai satu ruang yang lebih besar untuk melihat bagaimana kita dapat mencari syarikat operasi yang lain untuk kita berusaha sama membangunkan lapangan terbang,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Jelas Loke, kerajaan kini terikat dalam perjanjian operasi dengan MAHB, iaitu syarikat milik kerajaan yang juga disenaraikan secara terbuka. Justeru, ia memerlukan keputusan daripada pemegang saham.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu yakin bahawa banyak pihak swasta yang berminat untuk membangunkan lapangan-lapangan terbang kecil di negara ini.
Beliau juga menyatakan rasa dukacita apabila tiada perancangan spesifik untuk menaik taraf mana-mana lapangan terbang di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ujarnya, ketika beliau menerajui Kementerian Pengangkutan, terdapat permintaan di setiap negeri untuk menaik taraf lapangan terbangnya khususnya bandar-bandar sekunder seperti Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Alor Setar, Sandakan, Tawau , Sibu dan Miri.
Tambahnya, meskipun sektor penerbangan sedang menghadapi penguncupan kerana permintaan yang berkurangan, beliau yakin bahawa selepas Covid-19 reda sektor tersebut akan kembali rancak.
“Permintaannya akan meningkat semula dan sudah tentunya keperluan untuk lapangan terbang akan meningkat. Jadi kita perlu merancang untuk masa depan kerana pembangunan lapangan terbang ini memakan masa.”