Jangan guna isu kemiskinan raih sokongan politik, hina orang susah, kata ADUN PBS

Jangan guna isu kemiskinan raih sokongan politik, hina orang susah, kata ADUN PBS

ADUN Telupid, Jonnybone Kurum berkata, kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar mungkin kurang berkemampuan, tetapi mereka tidak pernah kehabisan sumber makanan atau tiada rumah.

Jonnybone Kurum (kiri) mencabar Chan Foong Hin untuk menyatakan sama ada kawasan Parlimennya di Kota Kinabalu tiada masalah kemiskinan.
KOTA KINABALU:
ADUN Telupid, Jonnybone Kurum menyelar Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang menggunakan isu kemiskinan untuk menuding jari serta meraih sokongan politik.

Katanya, pemimpin sepatutnya menunjukkan komitmen dengan mencari penyelesaian terbaik untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, bukannya menghina keadaan mereka yang susah.

Penolong Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, kebanyakan penduduk di kawasan luar bandar mungkin kurang berkemampuan, tetapi mereka tidak pernah kehabisan sumber makanan atau tidak mempunyai rumah.

“Penduduk kampung boleh mengusahakan tanah mereka bila-bila masa dan mereka juga mempunyai sumber makanan mencukupi, walaupun tidak mempunyai wang yang banyak.

“Oleh itu, janganlah sesekali menghina keadaan mereka yang susah, kita seharusnya membantu dan bukannya mengejek penderitaan mereka.”

Beliau mengulas kenyataan Chan yang menyatakan lapan daerah di Sabah disenaraikan daerah termiskin, walaupun mempunyai wakil rakyat terdiri daripada menteri dan timbalan menteri di peringkat persekutuan mahupun negeri.

Kurum berkata, kadar kemiskinan bandar di Kota Kinabalu mungkin lebih teruk daripada kawasan luar bandar seperti yang dinyatakan Chan.

“Sebenarnya, masalah kemiskinan bukan sahaja berlaku di kawasan pedalaman, tetapi juga di bandar.

“Realitinya, golongan miskin bandar juga wujud di Kota Kinabalu. Adakah anda (Chan) berani menyatakan di kawasan Parlimen Kota Kinabalu tiada kemiskinan?” soalnya.

Di kawasan pedalaman, katanya, tidak wujud masalah pengemis seperti di kawasan bandar.

“Oleh itu, Chan perlu turun padang lebih kerap untuk melihat permasalahan (pengemis) yang wujud di kawasan beliau.

“Ini juga menunjukkan masalah kemiskinan yang serius sememangnya berlaku di kawasan bandar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.