China perlu laksana ‘kemakmuran bersama’, kata Mat Sabu

China perlu laksana ‘kemakmuran bersama’, kata Mat Sabu

Presiden Amanah berkata Beijing sepatutnya 'melimpahkan' kekuatan ekonominya kepada negara berjiran.

Mohamad Sabu berkata, negara China juga perlu menghormati negara lain, bukan semata-mata menunjukkan kekuatannya di rantau ini.
KUALA LUMPUR:
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mahu negara China melaksanakan “kemakmuran bersama”, iaitu terma yang diguna pakai kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu, merujuk kepada pembangunan ekonomi yang dikongsi bersama dengan negara berjiran di rantau ini.

Presiden Amanah itu berkata, China tidak sepatutnya berperanan seperti Amerika Syarikat, yang katanya, meninggalkan negara jirannya seperti Nicaragua, Panama, Colombia, dan Cuba dalam kemiskinan, sekali gus menyebabkan rakyat negara terbabit berhijrah mencari kehidupan lebih baik.

“Jika China mahu seperti apa yang dikatakan menteri pertahanan sebagai ‘abang besar’, mereka perlu memastikan kekuatan ekonominya ‘melimpah’ kepada negara berjiran.

“Apa yang kita bimbangkan adalah Malaysia cukup perlahan membawa masuk kekuatan dan perkembangan teknologi China. Jangan biarkan limpahan itu hanya di Vietnam, Kemboja, dan Indonesia sahaja.

“Kita mahu bersama, selain itu China perlu menghormati negara lain bukan semata-mata menunjukkan kekuatan. Perlu ada perbincangan bersama negara lain, terutama dalam kalangan anggota ASEAN,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Jika China bersetuju dengan gagasan “kemakmuran bersama”, Mohamad berkata, ia sekali gus menjamin ASEAN, sebagai jiran terdekat China berkemampuan mempertahankan rantau ini tanpa bergantung kepada kekuatan luaran.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Selat Melaka adalah laluan utama lebih 100,000 kapal setiap tahun, sambil menambah wujud “kuasa kuat” yang mahu mengawal rantau ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.