Alphard potong ‘double line’, Timbalan Menteri Agama mohon maaf

Alphard potong ‘double line’, Timbalan Menteri Agama mohon maaf

Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau menerima teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial.

Tangkap layar daripada klip video menunjukkan Toyota Alphard berwarna hitam memotong di garisan berkembar secara berbahaya, walaupun terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary memohon maaf selepas klip video menunjukkan Toyota Alphard miliknya dipandu secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar.

Katanya, beliau menerima teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial.

“Saya memohon ribuan kemaafan atas isu yang timbul.

“Sebagai seorang insan yang tidak sempurna, saya mengambil tanggungjawab atas teguran yang diberikan dan menjadikan ia sebagai penambahbaikan buat saya dan kakitangan saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Setakat ini, katanya, polis masih menyiasat insiden tersebut dan kakitangannya yang terlibat sudah dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk tindakan yang sewajarnya.”

Semalam, polis Kelantan mengesahkan membuka siasatan terhadap Toyota Alphard berwarna hitam milik seorang timbalan menteri yang didakwa melanggar peraturan jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Suhaimi Jusoh dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung dakwaan itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ia susulan satu klip video memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran P45 memotong kenderaan di garisan berkembar, walaupun terdapat kenderaan lain dari arah bertentangan di Jalan Bukit Marak-Binjai, dekat Kota Bharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.