‘Peraturan baharu’ bas sekolah tak benar, kata Wee

‘Peraturan baharu’ bas sekolah tak benar, kata Wee

Menteri Pengangkutan nafi pengusaha bas sekolah diarah mengecat biru bampar kenderaan milik mereka itu.

Wee Ka Siong berkata, peraturan membabitkan bas sekolah termasuk warna tidak pernah berubah sejak 34 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan menafikan mengeluarkan arahan baharu bahawa pada bahagian dalam bampar bas sekolah perlu dicat biru sebagai syarat melepasi pemeriksaan Puspakom.

Menterinya, Wee Ka Siong, dalam kenyataan, menegaskan peraturan sedia ada tidak berubah sejak 34 tahun lalu.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak pernah mengeluarkan arahan terhadap pengusaha bas sekolah mengecat pada bahagian dalam bampar kenderaan dengan warna biru.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, mendakwa mendapat rungutan daripada pengusaha bas sekolah yang menyatakan pihak berkuasa mengeluarkan arahan baharu untuk mengecat bahagian dalam bampar.

Lim berkata, tindakan itu akan membebankan pengusaha kerana membabitkan penambahan kos.

Wee ketika menafikan dakwaan Lim itu, berkata peraturan sedia ada masih berkuat kuasa.

“Tiada sebarang perubahan telah dibuat oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), selaras dengan peraturan di bawah Kaedah-Kaedah Bas Sekolah (Warna dan Tanda) 1987,” katanya.

“Melalui peraturan tersebut, semua bas sekolah yang beroperasi hendaklah dicatkan dengan warna jingga. Manakala tulisan “BAS SEKOLAH” pada pada kenderaan bas tersebut hendaklah dicatkan dengan warna hitam,” katanya.

Beliau berkata Lim diharap menghentikan kerja menfitnah, memburuk-burukkan pihak lain tanpa bukti kukuh semata-mata demi kepentingan politik yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.