
Mohd Saibulrijal Mohd Saad, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.
Saibulrijal, yang ketika itu memegang jawatan sebagai pengurus perhubungan didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran deposit simpanan tetap berjumlah RM411,442.17 milik seorang pelanggan Choo Lai Hock, 63 dan memindahkannya ke dalam akaun semasa milik pelanggan sama.
Tertuduh kemudian membuat pembelian tujuh jongkong emas seberat 1.5kg bernilai RM376,110.72 tanpa pengetahuan dan kebenaran pelanggan itu untuk kegunaan tertuduh sendiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di pusat beli belah di Bangsar, Brickfields, pada 6 Sept lepas antara 8.52 pagi hingga 4.50 petang mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Okt depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi.